Friday, February 8, 2008

PERSANDINGAN NING BAIZURA & OMAR SHARIFF


Persandingan Ning & Omar meriah ala kampung!
PENUH tradisi! Hanya itu yang sesuai digambarkan tentang majlis persandingan penyanyi tersohor Ning Baizura, 33 dan suami tercinta, Omar Sharif Christopher Layton Dalton, 33 yang telah berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Bertemakan ala kampung, majlis yang dihadiri oleh kira-kira 2000 tetamu itu berlangsung di dalam suasana yang cukup meriah di dalam dewan yang diubah seperti sebuah kawasan kampung yang dinamakan 'Kampung Nekmat' sebagai gambaran persandingan mereka yang berada dalam keadaan muafakat.
Photobucket
Ning dan Omar dengan pakaian rekaan Rizman Ruzaini tersenyum riang melangkah masuk ke
'Kampung Nekmat' (Foto Utusan)
Malah, reban ayam dan kambing juga boleh disaksikan di satu sudut, menambahkan lagi gambaran suasana harmonis masyarakat kampung!
Cukup santai majlis yang diadakan dengan rata-rata tetamu hadir berpakaian kampung dan apa yang pasti, lauk-pauk menarik yang disajikan oleh Kuzie Catering juga menyerlahkan tradisi kampung sambil dinikmati oleh kebanyakan tetamu secara bersila di atas pangkin dan ada juga yang menjamu selera di satu sudut lain yang menyediakan meja dan kerusi.
Selain keluarga kedua-dua belah pihak, majlis persandingan kedua mempelai ini juga dihadiri oleh rakan-rakan artis antaranya Datin Seri Siti Nurhaliza dan suami, Ziana Zain serta suami, Datuk Aziz Sattar, Linda Onn, Ella, M.Nasir dan isteri, Betty Banafe, Jaclyn Victor, Cat Farish, Azwan Ali, Awal Ashaari dan Nora Danish.
Ning dan Omar disambut meriah kira-kira jam 8.30 malam dengan paluan kompang dan bunga manggar.
Senyuman ceria terukir di wajah pengantin yang mengenakan pakaian songket sedondon berwarna biru tua, hasil sentuhan dua pereka terkenal, Rizman dan Ruzaini dan disandingkan di atas pelamin indah.
Photobucket
Bapa Ning, Sheikh Hamzah Sheikh Mohamed merenjis pasangan mempelai
Selepas acara dimulakan dengan bacaan doa, upacara merenjis mempelai menyusul dengan didahului oleh ibubapa Omar iaitu Colin dan Maureen Dalton sebelum acara santapan pengantin menyusul. Juadah untuk pasangan pengantin dan tetamu VIP disediakan oleh chef 'selebriti' tanahair, Chef Wan.
Sepanjang berlangsungnya majlis yang dikendalikan oleh hos terkenal Datuk Mahathir Lokman itu, pasangan pengantin dan tetamu turut dihiburkan dengan persembahan daripada artis-artis tanahair antaranya Nas Adila, Farhan, Intan Sarafina, Farawahida, Haziq, Syafinaz dan Ifa Raziah.
Segmen tarian poco-poco juga turut diadakan dengan disertai oleh rata-rata tetamu yang hadir termasuklah rakan-rakan artis, ketika pengantin beredar untuk persalinan kedua.
Photobucket
Omar menyuap makanan kepada isteri tercinta, Ning pada acara santapan