Sunday, February 15, 2009

BERITA HARIAN : RIZMAN RUZAINI GAPAI IMPIAN

Pembukaan STUDIO: GALERI RIZMAN RUZAINI
Oleh Nor Affizar Ibrahim
DUA pereka fesyen selebriti, Rizman Nordin dan Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil yang terus mencipta nama dalam persada fesyen tempatan, melangkah lebih berani dengan memperkenalkan konsep studio -galeri rizman ruzaini yang dibuka mereka sejak dua bulan lalu di Bandar Seri Permaisuri, Cheras. Walaupun masih baru dalam dunia fesyen, Rizman, 24, dan Ruzaini, 24, ternyata semakin bersedia berdepan dengan cabaran dan berkeyakinan tinggi mengorak langkah lebih jauh, sekali gus tidak mustahil jika Galeri Rizman & Ruzaini yang direalisasikan mampu memberi lebih sinar dalam kerjaya mereka.
Rizman berkata, konsep seperti ini mungkin sesuatu yang agak baru di Malaysia, tetapi di luar negara, konsep sedemikian sudah pun hampir 10 tahun di ketengahkan. Malah, kebanyakan pereka luar negara begitu senang sekali memilih konsep 'house boutique' kerana memberikan lebih selesa kepada pelanggan. “Konsep 'house boutique'atau menjadikan rumah sebagai studio dan butik untuk dikunjungi pelanggan, bukanlah sesuatu yang baru kerana ia begitu popular di kalangan pereka fesyen antarabangsa sejak mula diperkenalkan pada 2000. Di Malaysia, pereka baru yang mendapat bimbingan daripada pereka berpengalaman dan sokongan selebriti untuk mencipta nama sebagai pereka fesyen boleh dikatakan sebagai pelopor mempopularkan konsep seperti ini sehingga ia menjadi ikutan,” katanya. Kedua-dua pereka yang juga bekas graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen berkata, idea untuk membuka konsep baru itu sudah beberapa bulan direncanakan, tetapi baru kini dapat direalisasikan.
Sejak dari dulu lagi, kedua-duanya berhajat untuk membuka butik yang menampilkan konsep tersendiri tetapi sebagai permulaan, mereka merangka strategi dan memilih konsep berkenaan untuk menjalinkan hubungan lebih baik serta mesra dengan pelanggan. Katanya, antara kelebihan utama memilih konsep sedemikian ialah memberikan suasana lebih selesa kepada pelanggan yang ingin berurusan. “Bukan saja kami sebagai pereka berasa selesa, sebaliknya pelanggan turut merasai suasana yang sama. Sesuai dengan khidmat ditawarkan ‘make to measure’ pelanggan boleh berbincang, menanyakan nasihat dan pandangan kepada kami dalam suasana santai setiap kali mereka datang ke sini untuk menempah serta mengukur baju yang diinginkan. Cara ini lebih baik, memudahkan komunikasi dan memberikan lebih kepuasan kepada pelanggan,” kata Rizman. Mencipta persekitaran lebih harmoni dan memberikan sentuhan gaya galeri yang eksklusif, Rizman dan Ruzaini membuat sedikit ubah suai, termasuk menggabungkan rona hitam dan krim bagi memberikan kesan lebih dramatik. Rona krim melatari keseluruhan galeri berkenaan, manakala pilihan perabot yang ditempah khas memenuhi ruang pula kebanyakan berwarna hitam.
Secara keseluruhan, galeri itu dibahagikan kepada tiga ruang yang turut merangkumi sudut untuk pereka bekerja dan mencurahkan idea. Sementara, dua lagi ruang dilengkapi sofa atau kerusi dan majalah fesyen bagi membolehkan pelanggan duduk dengan selesa serta santai. Rizman berkata, pembukaan galeri itu turut membolehkan mereka menguruskan masa dengan lebih terancang kerana setiap pelanggan yang ingin datang ke situ mesti membuat temujanji terlebih dulu. “Jika membuka butik kami perlu mengikut masa untuk tutup dan buka, tetapi di sini pelanggan boleh buat temujanji tidak kiralah pada waktu malam sekali pun. Yang penting, jadual pengurusan masa kami lebih terurus dan pelanggan pun tidaklah berasa kecewa kerana jika sudah ada temujanji pasti kami luangkan masa untuk mereka.
Ruzaini pula berkata, seiring dengan konsep bekerja yang lebih menyenangkan kini perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan turut diperluaskan termasuk sebagai perunding perancang perkahwinan yang menyediakan pakej serba lengkap dan sedia menerima tempahan rekaan apa jua jenis pakaian tetapi seiring aliran terkini. Selain itu, mereka juga sedia memenuhi permintaan pelanggan yang ingin menempah kasut dan beg tangan bagi melengkapkan lagi gaya. Apa yang membanggakan kedua-dua pereka muda ini ialah beberapa selebriti yang pernah menggayakan rekaan mereka seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira dan Ning Baizura hingga kini terus memberikan sokongan. Selain akan terus bekerja keras dan menghasilkan lebih banyak rekaan pakaian yang kreatif serta menarik untuk digayakan, Rizman dan Ruzaini turut menaruh harapan agar suatu hari nanti mereka dapat membuka galeri di tapak banglo yang lebih besar dan dibina sendiri. “Impian itu mungkin masih jauh untuk dicapai, tetapi kalau dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun lagi ia pasti lebih membanggakan dan menggembirakan kami,” kata mereka.

2 comments:

sYukCurZ said...

ow. da buka kat sana? so pindah sana trus la?

helmi hj lassim said...

salam Rizman Ruzaini...
hope u all terus berjaya dalam area fesyen nie..
good luck...