Tuesday, March 10, 2009

Duet 2 R

Duet 2 R

Walaupun label Rizman Ruzaini masih baru dalam industri fesyen tempatan tetapi ia sudah mampu memikat hati.



TAMPIL dengan rekaan yang ringkas tetapi penuh ceria dan menggoda.


'RAMAI yang berpendapat label Rizman Ruzaini Creation, diasaskan oleh seorang pereka, sedangkan pada hakikatnya ia diusahakan oleh kami berdua," jelas Rizman Nordin, 25, mengenai label Rizman Ruzaini Creations yang dijalankan bersama rakan karibnya, Wan Mohd. Ruzaini Wan Jamil, 25.

Jika pereka lain lebih selesa menguruskan rumah fesyen mereka sendiri, tetapi tidak bagi kedua-dua graduan Ijazah Rekaan Fesyen, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam ini. Mereka saling memerlukan dari segi lakaran, idea dan pengurusan butik.

Jelas Rizman yang dilahirkan di Ayer Hitam, Pulau Pinang, pada mulanya, mereka bergerak secara individu.



BERMULA dari bawah, kini mereka semakin menempa nama mencipta rekaan untuk selebriti popular.

Sehinggalah niat untuk bekerjasama timbul ketika terlibat dalam sesi penggambaran anjuran sebuah majalah.

"Pada waktu itu, saya menyolek wajah penyanyi Pija (Mentor) manakala Ruzaini bertindak sebagai pereka busana. Selesai saja, sesi penggambaran tersebut, Pija bertanyakan kepada Ruzaini, sama ada beliau mempunyai baju yang sesuai dengan tema majlis yang ingin dihadirinya.

"Malangnya, Ruzaini tidak mempunyai busana berkenaan sebaliknya saya yang ada. Bermula dari saat itu, kami berbincang untuk menubuhkan label Rizman Ruzaini Creations," tambah Rizman yang turut memberitahu bahawa tidak pernah mengalami sebarang kesukaran bekerjasama dengan Ruzaini.

Beliau mengakui, saling memahami, serasi dan memiliki minat serta hasil lakaran fesyen yang sama. Label Rizman Ruzaini Creations yang diasaskan sekitar tahun 2005, menampilkan rekaan yang ringkas dan klasik tetapi mempunyai jalinan gaya yang stailo.

Terang Rizman, pada pengamatannya terdapat dua cara untuk memperkenalkan diri kepada orang ramai.


RIZMAN (kiri) dan Ruzaini dua sahabat karib yang mengasaskan label fesyen Rizman Ruzaini Creations.

Kaedah pertama seseorang pereka itu perlu aktif menyertai pertandingan rekaan fesyen, sekali gus meraih kemenangan.

"Kaedah yang kedua pula, kami (pereka) perlu menaja busana kepada golongan selebriti yang ingin menghadiri majlis formal atau majlis anugerah.

"Tidak sia-sia kami mengamalkan kaedah kedua. Selepas bekerjasama dengan beberapa orang selebriti seperti Yasmin Hani, Dayang Nurfaizah dan Betty Benafe, lama-kelamaan kami mendapat kepercayaan dan tempahan daripada artis yang sudah mempunyai nama besar dalam bidang seni (Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira dan Ning Baizura)," ujar Rizman ketika ditemui Stailo.

credit: thanks so much to izyan.

No comments: